MENCARI KUALITI DI DALAM KUANTITI

Assalamualaikum Warahmatullah.

Alhamdulillah, ramai yang menyedari kita semua telah berada di fasa terakhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Fasa climax bagi bulan panas ini. Fasa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Muhammad. Tidak kira umat yang ingin berbuat baik (mukhsinin) dan juga yang berbuat dengan ikhlas (mukhlisin). Fasa ini juga yang sering ditunggu-tunggu oleh umat Muhammad kerana ia adalah tanda penghujungnya tempoh mereka mengikat perut, menahan lapar dan dahaga.

Bagi mereka yang ingin berbuat baik, pasti akan berusaha untuk membuat dengan ikhlas. Pasti akan mencari-cari booster sebagai pemangkin di waktu climax ini. Sememangnya berbuat baik dan ikhlas itu adalah sebahagian proses pemurnian jiwa (tazkiah an nafs). Proses inilah yang akan membina serta membangunkan satu jiwa yang terbaik dan cemerlang yang dipanggil jiwa muttaqin.

Sesungguhnya ramai yang maklum melalui dalil-dalil yang termaktub tentang kebesaran, kelebihan dan keagungan bulan panas ini. Generasi mukhsinin pula pasti dimotivasikan dan diberi synergy memandangkan segala perkara sunat dibalas bagai perkara wajib. Perkara wajib dibalas dengan ganjaran berlipat ganda. Manakala perkara puasa, hanya Allah yang mengganjarinya.

Penulis maklum, generasi mukhsinin pasti begitu bersemangat untuk menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan selaras dengan kalam Allah (surah al-Qadar: 1-5) tentang satu malam yang dimuliakan iaitu malam al-Qadar dan juga hadis nabi yang menyebut tentang kelebihannya malam itu.
“Sesiapa yang bangun beribadat pada malam Lailatul Qadar dalam keadaan beriman dan niat yang ikhlas pasti diampunkan kepadanya apa-apa dosa yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi juga ada menyebutkan tentang malam al-Qadar sebagaimana pada dua hadis berikut:
“Lailatul Qadar itu berlaku dalam bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir iaitu malam ke-21, 23, 25, 27, 29, atau malam terakhir Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat dengan niat yang ikhlas pasti akan diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian.” Riwayat Ahmad.
“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh hari yang terakhir. Namun jika salah seorang dari kamu tidak mampu, maka jangan sampai terlepas pada hari ketujuh yang terakhir.” Riwayat Muslim.

Di dalam sibuk meningkatkan kuantiti ibadah, satu aspek penting juga perlu dibawa seiring. Iaitu aspek kualiti di dalam kuantiti. Kualitilah yang menentukan nilaian sesuatu perkara itu. Sememangnya perkara kebaikan perlu dilakukan dengan kuantiti yang banyak terutamanya di bulan berkat ini, tetapi aspek kualiti tetap tidak boleh ditolak-tepikan dan ditinggal-belakangkan.

Memandangkan malam ini adalah malam ketujuh yang terakhir, penulis mengucapkan dan mendoakan buat diri penulis sendiri (terutamanya), ibu, adik-beradik, ahli keluarga, guru-guru, rakan-rakan, mereka-mereka yang mengenali penulis dan yang penulis kenali, dan umat Islam seluruhnya, semoga diizinkan Allah untuk bertemu dan seterusnya menghidupkan malam itu dengan amal-amal kebaikan.


Tidak lupa juga penulis berdoa untuk saudara-saudara seakidah, moga beroleh ketenangan, kekuatan dan seterusnya beroleh kemanisan kemenangan menentang puak kuffar. Kemenangan beroleh kebebasan dari cengkaman kezaliman mahupun kemanisan kemenangan beroleh syahid. Amiin…

4 Responses

  1. Tulisan yang sangat berinformatif…flow yang menarik dan point di ulas dengan baik.
    TAHNIAH

  2. Terlalu mengejar keseronokan dunia, sehingga akhirat jauh ditinggalkan. Nauzubillah…jauhkan la kami dari sifat ini..jadikan lah Ramadhan ini jauh lebih baik dari yang sebelum2nya..AMIN

  3. […] Tidak kira sama ada banyak atau sedikit, semoga amal yang dilakukan berlandaskan keikhlasan dan menjadikan kita tergolong di dalam generasi mukhsinin dan mukhlisin. (Bacaan tambahan – MENCARI KUALITI DI DALAM KUANTITI). […]

  4. […] yang disediakan oleh Yang Maha Agung, bagi generasi mukhsinin mahupun mukhlisin dan muttaqin (MENCARI KUALITI DI DALAM KUANTITI) pasti merasa bersemangat untuk meneruskan ibadah-ibadah yang telah dilakukan sebelum ini. Segala […]

Leave a comment