BERDOSA JIKA PILIHANRAYA DILAKSANAKAN SEWAKTU MUSIM HAJI

Assalamualaikum…

Sekadar perkongsian buat pembaca budiman. Mungkin ada yang mengetahui berkenaan isu ini dan mungkin juga tidak. Jika para ulama dari sebuah parti Islam meminta ahli tertentu (sudah pasti para calon dan juga para jentera PRU) untuk menangguh ibadah haji jika PRU dilakukan pada musim itu telah dikecam dan dicemuh dengan teruk, dengan mengatakan mereka mementingkan parti dari hukum atau rukun Islam, maka pihak yang mencemuh itu wajar membaca artikel di bawah ini.

Jika penerangan yang dibuat oleh para ulama dari parti Islam tersebut tidak diterima, dan keilmuan mereka dipertikaikan, maka wajar juga mereka baca dan fahami artikel di bawah ini.

Artikel ini penulis dapat dari kiriman email melalui satu forum kumpulan di YahooGroup.

Apa yang diketengahkan oleh kumpulan ini wajar dipuji, di mana fatwa yang diharapkan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa mungkin hanya tinggal harapan. Malah, ada sesetengah pihak juga sudah mula mempertikaikan kewajaran Majlis Fatwa tersebut yang mana ia mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor luar.

…..

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji
Oleh
Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-
Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.
Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.
Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)
Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)
Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.
Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.
Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta’ala :
وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
“Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah :283)
Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.
Sekian dari kami,
1.     Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2.     Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3.     Dr. Zahazan Mohamed
4.     Dr. Maszlee Malek
5.     Dr. Abd Basit Abd Rahman
6.     Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7.     Dr. Khairuddin Aman Razali
8.     Dr. Sukki Othman
9.     Ustaz Roslan Mohammad
10.  Ustaz Zamri Zainuldin
11.  Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12.  Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13.  Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14.  Ustaz Aizam Mas’ud
15.  Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16.  Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17.  Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18.  Ustaz Ramadan Fitri Elias
19.  Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20.  Xifu Naseer Abd Rahman
…..
Baca juga artikel yang hampir serupa berkenaan isu ini yang bertajuk:

SUDAHKAH ANDA SEMAK?

Sudahkah anda mendaftar sebagai pemilih?

Jika YA jawapannya, sudahkah anda menyemak daftar pemilih anda?

Jika BELUM, sila semak daftar pemilih anda di sini. (Klik di sini untuk semak daftar pemilih).

Jangan benarkan hak anda digunakan oleh orang lain.

Jangan biarkan diri anda terlepas dari mencipta sejarah Malaysia dalam PRU13 nanti.

Dan yang pasti, jangan benarkan ada rekod mengatakan anda telah MATI sedangkan anda masih HIDUP. (Pengundi terkejut rekod JPN kata dia sudah mati).

PTPTN: APA KESUDAHANNYA NANTI?

Assalamualaikum…

Sedar tidak sedar, sudah berbulan juga blog ini tidak dikemaskini. Semacam sunyi tanpa artikel baru. Penulis seperti biasalah dengan alasannya iaitu sibuk dengan urusan dunia yang tidak berkesudahan. Hanya membenarkan jari jemari menari di papan kekunci hanya untuk menaip berkenaan urusan kerja.

Dalam kesibukan urusan peribadi, dapat juga penulis mengikut rapat beberapa perkembangan isu semasa dalam mahu pun luar negara.

Antara isu yang sangat menarik adalah tentang pinjaman pengajian yang cukup kontroversi masa kini, tidak lain dan tidak bukan semestinyalah PTPTN.

Sejak isu PTPTN ini ditimbulkan oleh pihak Pakatan Rakyat (PR), maka mulalah ia digoreng-goreng bagai pisang panas. Pihak pemerintah (BN) keluarkan kenyataan, kemudian dibantah oleh PR dan kemudian disanggah balik oleh BN. Maka dengan ini banyaklah isu-isu yang lain turut didedahkan, dipertikaikan dan dibincangkan.

Berbagai rundingan diadakan. Di pihak BN, diadakan Rundingan Meja Bulat, dan di pihak PR pula diadakan Rundingcara. Bagi penulis, ini semua adalah satu permulaan yang baik. Jika isu PTPTN ini tidak dimainkan sebagai lagu oleh PR, sudah pasti tiada siapa yang kisah berkenaan PTPTN ini. Pabila lagu dimainkan oleh PR, maka bermulalah BN menari-nari mengikut rentak. Inilah kebaikannya mempunyai pakatan pembangkang yang kuat, supaya pihak pemerintah tidak mudah lena dalam menjalankan amanah.

Kita sebagai rakyat yang mempunyai kuasa mengundi, maka sewajarnyalah kita mendapatkan seberapa banyak maklumat yang penting supaya dapat kita memberikan pertimbangan sewajarnya ketika mengundi nanti. Yang pasti, ISLAM itu wajib ditegakkan. Dan yang pasti, sebagai seorang muslim, walaupun ada pihak yang akan memperjuangkan untuk menghapuskan PTPTN, tapi perlu diingat, kewajipan untuk membayar hutang itu masih belum terlepas dari tanggungjawab anda.

 

PELUDAH WARNA – A SAMAD SAID

Peludah Warna
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said

TAHNIAH PASUKAN BOLA MALAYSIA

Salamun’alaikum…

Dah lama penulis tak mencoretkan artikel dalam blog ni. Zalim pula rasanya.huhu…

Dikesempatan ini, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia, kerana telah menang 2-1 kepada Chinese Taipei semalam. Seingat penulis, lebih tiga tahun penulis tidak mengikuti perkembangan bola sepak negara. Boleh dikatakan sebagai penderhaka kot sebab tidak menyokong skuad negara, haha…

Semalam, ketika berehat selepas menonton aksi pemberita menyampaikan pelbagai jenis berita (yang benar, yang palsu, yang fitnah dan sebagainya), sedang leka mencari saluran yang difikirkan menarik, tiba-tiba terdetik pula hati untuk melihat saluran RTM1 yang semestinya tidak termasuk dalam saluran feberet penulis, kebetulan siaran langsung perlawanan bola sepak antara skuad negara menentang Chinese Taipei.

Entah tarikan dari mana yang menarik hati penulis untuk menonton, mulanya sekadar ingin menonton sekejap sahaja, akhirnya penulis telah ‘sedekahkan’ hampir dua jam untuk menonton perlawanan tersebut hingga akhir. Dalam tempoh dua jam inilah, dengan corak permainan skuad negara yang begitu meyakinkan, telah mendidihkan dan menggelegakkan darah serta adrenalin penulis yang selama ini beku . Tambahan pula ketika serangan balas dilakukan di separuh masa pertama permainan yang membuahkan hasil.

Akhirnya, jika dahulu penulis ada mengeluarkan artikel dengan niat bergurau (sila lihat di sini), maka di sini penulis ingin menyatakan bahawa, satu-satunya cara untuk menang menentang skuad negara adalah apabila padangnya seperti di dalam artikel yang penulis keluarkan sebelum ini (sila lihat di sini).

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH?

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH???

DAFTARLAH SEKARANG!

PILIHANRAYA BOLEH BERLAKU BILA-BILA MASA.

TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB ANDA.

SALAM MAAL HIJRAH

Doa Akhir Tahun.

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:

“Hampalah kami di sepanjang tahun ini.”

akhir-tahun

Maksudnya:

Allah S.W.T berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang demikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai Yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu, wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Continue reading