SIYASAH DALAM ISLAM

Sesungguhnya Islam itu adalah satu agama yang syamil (lengkap) dan diredhai oleh Allah dari dahulu hingga akhirnya. Sebagaimana kalam Allah yang ertinya:-

Sesungguhnya agama yang diredhai Allah di sisi-Nya adalah Islam.

Barangsiapa yang mencari agama selain Islam maka tidak akan diterima darinya dan kelak hari kiamat dia termasuk orang-orang yang merugi.

Allah menyeru hamba-Nya untuk masuk ke dalam agamanya yakni Islam secara menyeluruh dengan firman-Nya, “Hai orang-orang yang beriman masuklah ke dalam as-silmi (Islam) secara keseluruhan.” Dalam penafsiran perkataan as-silmi ini, Ibn Abbas menafsirkannya sebagai Islam. Dengan itu, Allah memerintahkan kita untuk masuk ke dalam agama ini secara keseluruhan.

Yang dikatakan memasuki agama ini secara keseluruhan adalah dengan menerima pakai semua peraturan yang termaktub di dalamnya, bukan sekadar mengambil beberapa juzuk dari dalamnya untuk kegunaan dan kepentingan peribadi mahupun kelompok-kelompok tertentu.

Adapun as-siyasah (politik) adalah hakikat Islam, ini kerana makna siyasah itu sendiri adalah mengatur kemaslahatan umat dengan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah rasul-Nya. Dengan itu, untuk merealisasikan siyasah ini diperlukan ilmu dan segolongan orang yang faham tentang kemaslahatan umat.

Para ulama’ Islam telah menulis dan menyusun pelbagai karangan mengenai siyasah syar’iyyah (politik dalam syariat Islam) yang mana antaranya adalah kitab al-ahkam as-sultaniyyah karangan Imam Al-Mawardi, As-Siyasah As-Syar’iyyah karangan Ibn Taimiyah bersama Abu Ya’laal-Musili dan At-Turuq al-Hukmiyyah karangan Ibn Al-Qayyim dan sebagainya. Yang mana keseluruhan kitab-kitab ini menerangkan bahawa Islam memiliki manhaj dakwah.

Bermula dari penciptaan nabi Adam sehinggalah kepada nabi Muhammad S.A.W, semuanya membawa risalah dakwah yang sama yakni menyeru umat kembali kepada penciptanya iaitu dengan Islam. Sebagaimana sabda Rasulullah, “Bani Israel dipimpin oleh para nabi, jika seorang nabi wafat maka akan digantikan dengan nabi lainnya.” Dalam hadith lain pula baginda ada bersabda, “Akan datang setelahku para khulafa’ (pemimpin).”

Yang mampu memahami kemaslahatan suatu umat setelah para nabi adalah para ulul amri yakni al-hukkam (para pemimpin ) dan ulama’, merekalah yang berhak untuk masuk ke dalam kancah politik ini untuk kemaslahatan umat. Para pemimpin bertugas menjalankan syariat Allah, sedangkan para ulama’ bertugas mengarahkan umat dan menunjuki para umara. Yang layak dalam hal ini adalah orang yang berilmu dan faham dengan hukum syariat, kerana kemaslahatan umat memerlukan pemahaman agama yang sempurna.

 

Pemahaman Politik Era Sekarang

Adapun pemahaman ‘politik’ zaman ini sudah jauh dari zaman kegemilangan Islam dahulu. Ramai hanya menganggap bahawa berpolitik itu sebatas dengan kemampuan untuk berdebat isu semasa, menggerakkan massa, kemampuan berpuak-puak, berubah-ubah warna, kemunafikan dan selalu mengikuti kemana arah angin bertiup sebagaimana gerak laku lalang. Sesungguhnya Islam berlepas diri dari ‘politik’ yang sebegini kerana ia tidak akan mendatangkan kemaslahatan kepada umat.

Inilah perbezaan makna ‘politik’ yang diinginkan Allah dengan makna yang difahami oleh sesetengah orang sekarang, yang tidak lain tujuan utamanya adalah agar sampai ketampuk kekuasaan dan pemerintahan, kerana itu seorang ahli politik rela untuk bekerjasama dengan segala macam kelompok. Dan demi cita-cita dan keinginannya itu, dia rela untuk bertukar-tukar warna, bersikap tidak tetap pendirian dan berbuat kemunafikan dengan ahli politik lainnya, walaupun bertentangan dengan syariat Allah.

Adapun siyasah syar’iyyah akan selalu dibawah pimpinan seorang alim yang rabbani, Allah berfirman: “Tetapi jadilah kalian ulama yang Rabbani dengan apa-apa yang kalian ajarkan dari alkitab dan dengan apa-apa yang kalian pelajari“. Ciri-ciri alim Rabbani adalah seorang yang mendidik umat dengan masalah-masalah yang sederhana terlebih dahulu sebelum masuk kepada masalah-masalah yang besar. Dia faham betul apa yang diperlukan oleh umat, kerana itu, dengan cara perlahan da’i mendidik umat hingga sampai kepada kesempurnaan dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala.