BILA DIRI MULAI LEMAH

Mengapa saya susah untuk khusyu’ dalam ibadah?” tanya seorang pemuda.

Sejak akhir-akhir ini, nilai ibadahnya terasa kosong. Walaupun dari sudut zahirnya kelihatan seperti tiada yang kurang, tetapi hakikatnya dia dapat merasakan kekurangan dari sudut rohaninya.

Terasa malas benar untuk beribadah seperti dahulu. Bolehkah saya berehat sebentar untuk mencari synergy seperti dahulu?” keluh pemuda itu kembali.

Kita dibenarkan untuk berehat dalam beribadah, malah berehat itu adalah perlu bagi memperolehi momentum baru. Tetapi untuk bermalasan itu tidak boleh berkompromi. Berehatlah, moga hari esok masih ada untuk kamu. Jangan perasaan kamu esok dirugikan dengan keadaan kamu pada hari ini,” jawab seorang pakcik melalui talian yang disambungkan.

……………………………………………

Sesungguhnya iman itu bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat. Jadi permasalahan letih dan malas sering kali wujud yang mana selama kita menjadi manusia, maka kita pasti akan mengalami dan merasai satu keadaan yang namanya pasang dan surutnya iman. Perkara ini sememangnya pasti kerana kita adalah manusia bukannya malaikat.

Hanya saja, mereka yang terbaik adalah yang sentiasa mempersiapkan diri, yang mana setiap saat menyedari bahawa iman mereka boleh saja turun atau lemah, kemudian itu mereka memperbanyakkan amalan, menghadiri majlis-majlis ilmu, bersahabat dengan orang-orang alim sehingga dengan izin Allah dapat menolong dalam memelihara iman lalu meningkatkan kembali tahap iman.

……………………………………………

Inilah peri pentingnya kita bergabung ke dalam gerakan dakwah, yang mana dapat saling memperingatkan antara satu sama lain,” terang seorang sahabat di perantauan yang jauh.

Walaupun menisbatkan diri ke dalam manhaj dakwah, tidak bermakna kumpulan dakwah ini sempurna sehingga tiada cacat cela. Selagi ianya dianggotai oleh sekumpulan manusia pasti akan wujud kelemahan dan kekurangan kerana manusia itu tempat berkumpulnya kesalahan dan kealpaan.

……………………………………………

“Jika kita mendapati seorang teman tidak kira ikhwan atau akhwat, dan dilihat keadaan mereka sedang futur (malas), apa salahnya kita sebagai saudara seakidahnya menegur lalu mengingatkan mereka. InsyaAllah dengan qalallah dan qalarrasulullah, hati-hati mereka akan kembali ruju’, kerana sesungguhnya gerakan dakwah kita ini tertegak di atas dalil dan keadilan.”

Kata-kata seorang guru suatu ketika dahulu, yang pernah menegur, mendidik lalu membimbing penulis ke arah satu horizon perubahan dalam hidup.

Tanpa menutup sebelah mata apabila melihatkan fenomena ‘malas’ di kalangan ahli gerakan dakwah mahupun penganut Islam yang lainnya, marilah kita saling menasihati di dalam kesabaran dan saling menasihati di dalam kebenaran.

Menasihati tidak bermakna dengan perkataan yang dilisankan oleh mulut. Tidak bermakna dengan tutur kata yang ‘pedas’ lagi ‘tajam’ walaupun dengan tujuan untuk menusuk qalbu insan yang ditegur supaya berubah.

Konsep menasihati dan membimbing ini boleh dilihat dari konteks dan skop yang luas. Menasihati tidak bermakna perlu dilakukan oleh diri kita terus kepada insan yang ingin dinasihatkan. Ianya juga boleh melalui satu medium malah melalui pelbagai medium perantaraan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Apa yang pasti adalah kita mahupun satu perubahan kepada insan yang ingin ditegur.

……………………………………………

Tetapi bagaimana pula untuk menegur diri sendiri jika berada dalam kemalasan dan membimbing hati untuk kembali khusyu’?” keluh pemuda itu kembali. Terasa benar dirinya semakin hari semakin kosong. Bateri hatinya memerlukan satu penjanaan yang pastinya dari sumber janakuasa yang betul-betul kuat.

Bagaimanalah keadaan kamu suatu ketika nanti jika ditakdirkan pakcik dipanggil untuk menghadap Illahi kalau kamu tidak mampu memotivasikan diri sendiri?” kata pakcik dengan nada yang rendah.

Terkedu pemuda itu mendengarkan kata-kata tersebut. Persoalannya di awal tadi tidak dijawab tetapi diajukan dengan persoalan pula. Satu soalan yang sememangnya tidak diinginkan untuk pemuda itu jawab, tetapi cukup memberi kesan di dalam diri.

Kamu perlu belajar untuk memotivasikan diri ketika merasakan diri kamu mulai lemah. Kamu tidak boleh terus menerus bergantung pada insan lain untuk memotivasikan kamu. Ambillah segala pengajaran yang telah Allah ciptakan di dunia ini untuk kamu membina diri.

……………………………………………

Kembalilah mengenal diri, di situ terletaknya kunci pemangkin semangat diri. Selami kehidupan insan-insan yang terdahulu yang sememangnya diketahui kekuatan dan kejayaan mereka tidak kira dari sudut rohani dan jasmani. Hayati kisah-kisah perjuangan para nabi dan para salafussoleh.

Kunci yang terbesar sekali untuk menghilangkan sifat malas sudah pasti dengan mengingati mati. Sesungguhnya dengan mengingati mati itu, hati-hati akan menjadi tenang. Kerana tiada sebaik-baik pengajaran di dunia ini melainkan dengan kematian. Tetapi apabila dengan kematian itu tidak memberi pengajaran kepada kamu, tiada apa lagi yang dapat membantu kamu selain dengan mengharapkan rahmat dari Illahi moga kamu dirahmati.

ingat mati